Categories
SELANGOR

30 pasangan muda sertai Program Kemuncak Destinasi Cinta

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 JUL: Dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup semakin meningka seramai 30 pasangan anak muda mengambil peluang bernikah serentak dalam Program Pernikahan Beramai-ramai “Kemuncak Destinasi Cinta 2016” anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi, berkata program itu adalah salah satu program yang sangat bermanfaat bagi golongan anak muda.

“Di samping meraikan mempelai, program ini juga memudahkan urusan pernikahan yang halal yang diuruskan oleh Pejabat Agama Daerah Petaling.

“Secara tidak langsung ia juga menjimatkan kos perbelanjaan majlis,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pernikahan Beramai-ramai “Kemuncak Destinasi Cinta 2016″ di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, pagi tadi.

Katanya program itu sebagai kesedaran masyarakat supaya mengadakan majlis pernikahan dengan membelanjakan kos sederhana.

“Masyarakat perlu mengubah sikap untuk tidak melihat ia sebagai sesuatu yang menyusahkan khususnya bagi anak muda berpendapatan rendah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.