Categories
SELANGOR

48,000 pengguna dapat faedah projek ganti paip lama Fasa 1

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 26 JULAI: Projek menggantikan paip usang fasa 1 di kawasan Taman Melawati, Gombak Setia dan Seri Gombak bakal memberi faedah kepada 11,934 pemegang akaun dengan melibatkan hampir 48,000 pengguna.

Ketua Pengurusan Aset, Air Selangor, Sanusi Sulieman, berkata projek itu bakal mengurangkan gangguan bekalan air akibat daripada kejadian paip pecah dan bocor.

“Penggantian paip lama ini kita dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang disebabkan paip pecah dan bocor, kualiti air lebih terjamin dan kadar air tidak berhasil (NRW) terjamin,” kata Sanusi.

Pelancaran projek penggantian Paip Air Lama di Selangor, KL dan Putrajaya 2016 - MB Azmin (ASRI) (10)Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat projek menggantikan paip air lama kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Taklimat itu disampaikan pada Majlis Pelancaran Penggantian Paip Air Lama di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya 2016 di Jalan Taman Melawati, di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja fasa pertama itu menelan kos sebanyak RM9.12 juta dengan dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.

Ketika mengulas kejadian gangguan bekalan air di kawasan terlibat, Sanusi memberitahu bagi tempoh Januari 2014 hingga Jun 2016, ketiga-tiga kawasan berkenaan merekodkan kejadian paip pecah dan kebocoran tinggi menyebabkan kerap berlaku gangguan bekalan air.

“Kawasan ini dipilih berdasarkan rekod paip pecah yang banyak. Kawasan Taman Melawati bagi tempoh Januari 2014 hingga Jun 2016 merekodkan paip pecah sebanyak 43 kali hampir dua kali sebulan dan aduan paip bocor sebanyak 118 kali.

“Taman Seri Gombak pula 30 kali paip pecah, hampir tiap-tiap bulan dan paip bocor 44 kali, manakala di Gombak Setia, paip pecah 23 kali dan kebocoran 42 kali,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.