Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

7 projek Rumah SelangorKu di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 15 JULAI: Tujuh projek Rumah SelangorKu diluluskan di daerah Kuala Selangor membabitkan pembinaan 2,685 unit rumah teres mampu milik, kos rendah dan kos sederhana.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata kebenaran merancang bagi semua projek perumahan itu diluluskan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Beliau berkata, pelaksanaan itu seiring hasrat Kerajaan Negeri bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah mampu memiliki rumah sendiri.

SHAMSUL“Kuala Selangor ternyata menjadi pilihan ramai untuk tujuan kediaman dan perniagaan memandangkan tahap penggunaan tanah di daerah metropolitan mencapai tahap maksimum.

“Pemaju hartanah dan pelabur beralih arah ke daerah ini dan membuka kawasan baharu untuk tujuan kediaman dan lot komersial selain kemudahan akses dengan Lebuhraya Latar dan Lebuhraya Pantai Barat yang dalam pembinaan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Shamsul berkata, pihaknya menerima 24 permohonan serah balik dan beri milik semula tanah di bawah Seksyen 204 Kanun Tanah Negara untuk menukar syarat tanah pertanian kepada pembangunan bercampur pada tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 20 permohonan sudah diluluskan Kerajaan Negeri dan jumlah premium yang diperoleh RM51 juta.

“Pada tahun ini sahaja, lapan permohonan diluluskan setakat 31 Mei lalu dengan jumlah premium RM24.75 juta.

“Bagi kebenaran merancang, 20 permohonan untuk pembangunan bercampur dan satu permohonan pembangunan industri diluluskan MDKS pada 2015.

“Manakala setakat 31 Mei lalu, lima permohonan kebenaran merancang diluluskan untuk pembangunan bercampur dan kebanyakan permohonan di kawasan sekitar Ijok dan Puncak Alam,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.