Categories
NASIONAL

AMK: Buka semula siasatan 1MDB, heret pesalah ke muka keadilan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan Persekutuan digesa membuka semula siasatan melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Gesaan itu dilontarkan ekoran pendedahan pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mengatakan pegawai 1MDB menggunakan dana pelaburan negara ini seperti akaun bank peribadi, dan rakyat Malaysia telah ditipu dalam skala yang begitu besar.

“Walaupun negara-negara lain termasuklah Singapura, Switzerland, Hong Kong dan AS terus menyiasat kes 1MDB berdasarkan aktiviti penipuan dijalankan, kerajaan Malaysia tetap menidakkan ia dan sehingga kini masih tiada sebarang tindakan terhadap mana-mana individu. Malah, mereka telah menutup kes ini.

“Sememangnya perkara ini masih belum jumpa penyelesaiannya, namun begitu apa yang jelas di sini adalah kerajaan wajib membuka semula penyiasatan terhadap kes ini, dan bertindak dengan jujur untuk membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal besar ini ke muka keadilan,” katanya dalam kenyataan.

1MDBNik Nazmi berkata, inisiatif kerajaan AS itu amatlah memalukan kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Najib Razak, kerana kerajaan sering mempertahankan 1MDB dan melepaskan anak syarikat Kementerian Kewangan tersebut daripada sebarang kesalahan.

“Kejadian baru ini apabila AS memfailkan kes keatas beberapa individu berkait dengan 1MDB melibatkan aset bernilai USD1 Billion sedikit sebanyak memberi harapan kepada negara yang telah dirompak oleh mereka-mereka yang diamanahkan untuk mentadbirnya.

“Jika tuntutan mahkamah oleh Jabatan Keadilan AS ini didapati berjaya, setiap ahli kabinet sedia ada, dan yang terdahulu, yang sentiasa mempertahankan 1MDB juga haruslah bertanggungjawab ke atas kes jenayah terbesar negara ini,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.