Categories
NASIONAL

Cub Prix: Zaqhwan terlepas aksi di Teluk Intan

SHAH ALAM 26 JULAI: Md Zaqhwan Zaidi tidak beraksi di Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak pada 30 dan 31 Julai ini.

Ia selepas pelumba negara berusia 21 tahun itu berada di Jepun bagi menghadapi perlumbaan berprestij Kejuaraan Suzuka 8-Hour Endurance di Litar Suzuka yang berlangsung serentak dengan tarikh tersebut.

Pelumba Givi Honda Yuzy racing itu akan bergandingan bersama pelumba Thailand, Ratthapong Wilairot dan pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama di dalam pasukan Satu Hati Honda Team Asia.

Penyertaan ini merupakan penyertaan pertama Zaqhwan di dalam saingan Suzuka 8-Hour manakala aksi kedua bagi Ratthapong dan Dimas yang turut beraksi menggunakan jentera CBR1000RR pada tahun lepas bersama seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman.

zaqhwan-02“Saya agak teruja namun pada masa sama turut berasa gementar memandangkan ini kali pertama saya beraksi dalam kategori 8-Hour ini.

“Meskipun saya banyak kali beraksi di Suzuka dan pernah memenangi gelaran Suzuka 4-Hour pada tahun 2012, namun cabaran kategori 8-Hour sangat berbeza,” jelas Zaqhwan.

Zaqhwan turut berpendapat ketiadaannya tidak akan menjejaskan persaingan di dalam pemburuan gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Cub Prix.

“Ahmad Fazli Sham dan Kasma Daniel Kasmayuddin begitu dominan pada tahun ini. Fazli kini mempunyai kelebihan 33 mata berbanding pencabar di kedudukan ketiga dan hanya boleh dicabar oleh rakan sepasukan, Kasma Daniel yang sekadar tiga mata di belakang.

“Bagi saya, kemungkinan yang ada ialah saya terlepas kedudukan di kelompok lima pelumba terbaik dan terpaksa bekerja keras untuk merebut kembali kedudukan pada saingan pusingan keenam nanti,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.