Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dedah segera status kerahsiaan kewangan 1MDB – Mohamed Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 JULAI: Status kerahsiaan membabitkan laporan Ketua Audit Negara terhadap prestasi kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diubah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali membuat gesaan itu sebagai jaminan tiada sebarang unsur penipuan berlaku di sebalik penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Saya menggesa Perdana Menteri untuk mengubah segera status laporan Ketua Audit Negara demi ketelusan, kebertanggungjawaban dan tatakelola baik.

AZMIN“Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengukuhkan lagi anggapan berkenaan wujudnya konspirasi peringkat tertinggi untuk melindungi skandal 1MDB,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, unsur kerahsiaan digunakan Kerajaan sebagai alasan supaya tiada individu membocorkan laporan berkenaan skandal kewangan syarikat milik kerajaan itu.

Katanya, tindakan terbabit jelas membuktikan wujudnya amalan salah guna kuasa bagi menyembunyikan penyelewengan kewangan syarikat beban hutang itu.

“Pendirian untuk mengkelaskan maklumat itu dalam bentuk demikian adalah satu salah guna kuasa dan autoriti eksekutif secara terang-terangan yang belum pernah tergamak dilakukan mana-mana pemimpin dalam sejarah negara ini.

“Kita amat kesal dengan kerajaan ini yang bukan sahaja tidak mengendahkan tuntutan rakyat, tetapi pada masa sama menggandakan ugutan untuk mendakwa mereka yang membocorkan laporan 1MDB sebagai pengkhianat.

“Ini adalah satu lagi petanda jelas keangkuhan kuasa sebuah pentadbiran yang menganggap dirinya berada di atas undang-undang serta tuntutan ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Sebelum ini, Sarawak Report mendedahkan maklumat berkenaan teks penuh laporan ke atas 1MDB yang diklasifikasikan di bawah OSA.

Bagaimanapun, pendedahan berkenaannya tidak boleh disiarkan di negara ini atas kekangan undang-undang di bawah pemerintahan Umno Barisan Nasional (BN).

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.