Categories
NASIONAL

Euro 2016: Bale bertemu Ronaldo di separuh akhir

OLEH AFIX REDZUAN

PARIS, 2 JUL: Wales mencipta sejarah dalam penyertaan kejohanan antarabangsa apabila mara ke peringkat separuh akhir edisi Euro 2016 selepas menewaskan Belgium 3-1.

Dalam aksi suku akhir, Wales yang turun selaku pasukan bukan pilihan terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-13 menerusi rembatan kencang luar kotak penalti Radja Nainggolan selepas menerima tolakan Eden Hazard.

Gol penyamaan Wales hanya muncul pada minit ke-31 menerusi tandukan Ashley Williams selepas menyambut hantaran lintang Aaron Ramsey hasil sepakan penjuru dari sebelah kanan bagi mengikat kedudukan sebelum menuju waktu rehat babak pertama.

EUROBersambung babak kedua, The Red Dragon mempamerkan persembahan bertenaga apabila kembali di depan hasil jaringan Hal Robson-Kanu.

Aaron Ramsey sekali lagi menjadi duri dalm daging buat Belgium apabila umpanannya pada minit ke-55 berjaya disempurnakan Kanu untuk jaringan kedua Wales.

Belgium, pasukan di ranking kedua dunia cuba bangkit menerusi gerakan diketuai Eden Hazard dan Kevin de Bruyne namun gagal memecah benteng pertahanan Wales walaupun menguasai 52 peratus perlawanan.

Sebaliknya jentera serangan Wales diketuai Gareth Bale berjaya menghukum kealpaan pertahanan Belgium dengan jaringan cantik Sam Vokes empat minit sebelum perlawanan berakhir.

Vokes berjaya menanduk masuk bola hantaran lintang Chris Gunter selepas beliau melompat tinggi mengatasi kawalan dua pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Kemenangan bersejarah itu menyaksikan Wales bakal bertemu Portugal di peringkat separuh akhir selepas mereka terlebih sahulu menewaskan Poland menerusi penentuan sepakan penalti.

Perlawanan tumpuan itu sudah pastinya akan mempertemukan dua penyerang terbaik Real Madrid, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo bagi mencari tempat mara ke peringkat akhir.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.