Categories
SELANGOR

Festival Orang Asal Antarabangsa Selangor kaya elemen budaya

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 29 JULAI: Lebih 20 kumpulan etnik orang asal dari tujuh negara akan menyertai Festival Orang Asal Antarabangsa Selangor 2016 kali kedua di Taman Botani Shah Alam, pada 6 dan 7 Ogos ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din, berkata festival itu bertujuan mempromosikan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan berteraskan kebudayaan dan keseniaan serta memperkenalkan suku kaum orang asal di negeri itu.

“Mungkin masih ramai di luar sana yang belum tahu bahawa Selangor sendiri mempunyai pelbagai bilangan kaum orang asal yang sememangnya terkenal dengan budaya dan cara hidup masing-masing.

Puan Noorul Ashikin Tourism“Kami yakin ia mampu menarik perhatian orang ramai untuk datang dan melihat sendiri acara serta pengisian yang cuba disampaikan sepanjang acara itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media “Back To The Roots” Selangor International Indigenous Arts Festival 2016 di Taman Botani Shah Alam, semalam.

Pada masa sama, Noorul Ashikin berkata, festival itu akan membawa masyarakat mendekati keindahan alam semula jadi selain didedahkan keunikan budaya masyarakat orang asal.

“Acara ini diharap dapat menyerlahkan budaya dan cara hidup kehidupan mereka di samping mempelajari cara menjaga alam sekitar.

“Warisan, adat, seni dan budaya perlu dipelihara dan dihargai kerana semua itu adalah jati diri melambangkan identiti yang unik,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.