Categories
NASIONAL

Jelajah 1MDB, KEADILAN terbuka penglibatan semua pihak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 JULAI : KEADILAN mengambil pendirian terbuka menyambut baik mana-mana organisasi atau parti politik untuk turun bersama-sama menyertai jelajah penerangan skandal 1MDB ke seluruh negara.

Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keterbukaan itu menjurus kepada komitmen masyarakat sivil untuk menyelamatkan Malaysia dan bukan menjurus kepada sentimen parti politik.

“Keutamaannya, kita bekerjasama dengan semua parti politik, individu, badan bukan kerajaan yang memberi komitmen untuk inisiatif ini.

“Keperluannya adalah untuk menyelamatkan ekonomi dan negara kita,” katanya mengulas penyertaan komponen parti pembangkang terhadap inisiatif tersebut.

1MDB02Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas istiadat sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri di perkarangan Tugu Peringatan di sini, pagi ini.

Semalam, KEADILAN menjalinkan kerjasama bersama Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggerakkan inisiatif untuk memberi penerangan kepada masyarakat terhadap skandal syarikat beban hutang, 1MDB.

Siri jelajah tersebut memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar bertujuan memberi pendedahan berkaitan rasuah dan penyelewengan dalam syarikat cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas perkembangan lanjut mengenai inisiatif tersebut, Mohamed Azmin berkata pengumpulan maklumat dan bahan penerangan giat dijalankan sebelum insiatif digerakkan ke seluruh negara.

“Kita sedang membuat info grafik dan naratif untuk kita dedah kepada masyarakat secepat mungkin sebelum perkara ini dipadamkan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.