Categories
NASIONAL

KEADILAN sedia kerjasama jika jayakan agenda reformasi

OLEH : HAFIZAN TAIB

PUCHONG, 19 JULAI: KEADILAN sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik dan pihak yang bersetuju dalam menjayakan agenda reformasi dipelopori parti berkenaan dalam usaha menentang Umno-Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata dalam semangat demokrasi pihaknya mengalu-alukan rancangan penubuhan parti politik baru dicadangkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini dapat menyuburkan suasana demokrasi dalam negara namun sama ada kita akan bekerjasama dengan parti baru atau tidak tertakluk kepada agenda dan idealogi parti berkenaan.

“Sekiranya parti baru ini bersetuju untuk bersama dengan agenda reformasi semestinya kita akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik dan pihak yang menyokongnya,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan satu parti politik baru dan pembentukan pakatan pembangkang bersama PKR, DAP dan Amanah bagi menentang Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Antara individu dikatakan berminat dengan penubuhan parti baru itu ialah mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Mantan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.