Categories
NASIONAL

KEADILAN Selangor sambut baik dan alukan parti baru dicadang Tun M

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JUL: KEADILAN Selangor menyambut baik dan mengalu-alukan penubuhan parti baru diusahakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bertujuan membentuk gabungan bersama pembangkang dalam gerakan menentang Umno-Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei, berkata pihaknya mengucapkan tahniah bagi tindakan itu yang membuktikan kematangan semua pihak dengan meletakkan kepentingan negara melebihi kehendak peribadi.

“Tujuan utama penubuhan parti baru ini pastinya bermatlamat bagi perubahan besar dalam pengurusan negara.

“Perubahan ini nanti diharap dapat membantu penukaran sebuah kerajaan yang dipercayai sangat korup dan dipandang negatif masyarakat antarabangsa,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda itu berkata, seperti ditegaskan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya mengalu-alukan sesiapa juga yang berhasrat membantu mencapai gagasan reformasi sistem pentadbiran negara diasaskan parti itu sejak 1998 lagi.

“KEADILAN Selangor yakin penubuhannya bergabung membentuk satu pakatan pembangkang berkesan dan inklusif mampu menyatupadukan semua parti mempunyai agenda sehaluan menawarkan satu pentadbiran altetnatif pada PRU-14 akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Anwar memandang positif terhadap tindakan Dr Mahathir bagi membentuk sebuah parti baru untuk menentang Umno-BN.

Beliau turut berpendapat adalah penting untuk parti pembangkang bersatu dan percaya mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan menerajui parti baru berkenaan.

Anwar kini dipenjarakan, juga menegaskan kepentingan parti pembangkang bekerjasama dan memuji cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya mereka mengadakan ‘gencatan senjata’.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.