Categories
NASIONAL

KEADILAN tuntut mesyuarat dengan PDRM siasat kes Bill Kayong

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 4 JULAI : Mekanisme pertemuan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KEADILAN perlu dijalankan bagi mendapatkan maklum balas berkenaan kes pembunuhan aktivis, Bill Kayong.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata ia bagi memastikan kes terbabit mendapat pembelaan sewajarnya dan dapat diselesaikan secara telus.

Katanya, perkara itu bagi membuktikan kesungguhan anggota polis untuk tidak mengamalkan budaya ‘double standard’ membabitkan pimpinan dan aktivis pembangkang.

image (3)“Kita menuntut supaya dianjurkan sidang mesyuarat khas bersama pimpinan KEADILAN dan ahli keluarga Bill Kayong untuk menerima maklum balas berkenaan hasil siasatan PDRM setakat ini.

“Selain itu, kita menuntut jaminan polis untuk mengkaji dan memperketatkan perlindungan keselamatan terhadap aktivis pejuang tanah adat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum keadilan bersabit kes pembunuhan setiausaha Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo, Bill Kayong, Jun lalu.

Sebelum ini, pejuang dan aktivis tanah adat di Sarawak menerima ancaman dan ugutan daripada individu tidak dikenali.

Perkara itu dipercayai berlaku ekoran kelantangan mereka memperjuangan hak tanah adat masyarakat Sarawak yang diambil pihak tidak bertangunggjawab lebih 50 tahun lalu.

Bagaimanapun, Nurul Izzah berkata, kegagalan polis menyelesaikan kes terbabit jelas membuktikan keselamatan dan keamanan masyarakat Sarawak kini semakin terhakis di bawah rejim pentadbiran kerajaan pemerintah.

“Ini sesuatu yang kita tidak boleh terima apabila rakyat terpaksa tunduk dengan isu rasuah, menjejaskan hak asasi manusia dan kemusnahan alam.

“Mengecewakan sekali apabila kerajaan dan syarikat swasta dilihat bersekongkol apabila masyarakat tidak mampu berada dalam jaminan keselamatan dan keadilan di bawah Perlembagaan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.