Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kediaman tak ada penghuni berpotensi biak Aedes

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kediaman tidak berpenghuni yang dibiarkan untuk tempoh lama berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes disebabkan pembuangan sampah domestik dan pukal.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata hasil lawatan ke pangsapuri Bandar Baru Kundang yang menjadi lokasi hotspot pembiakan denggi di daerah Gombak mendapati 243 daripada 548 unit kediaman tidak berpenghuni dan dilabel sebagai bermasalah selain dihuni warga asing.

daroyah01“Kawasan ini dilabel sebagai bermasalah kerana mempunyai potensi menjadi tempat pembiakan Aedes. Selain itu, setengah daripada penghuni di sana bukan warga tempatan tetapi dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam.

“Hasil daripada lawatan mendapati unittidak berpenghuni ini dipecahkan indivitu tidak bertanggungjawab untuk dijadikan tempat pembuangan sampah. Pelbagai jenis bahan buangan dapat dilihat di dalam premis seperti sampah pukal pembinaan, perabut, pakaian juga sampah domestik.

“Sikap malas dan tidak bertanggungjawab sebahagian penduduk merisikokan semua penghuni pangsapuri berkenaan kepada masalah denggi selain masalah bau yang busuk dan persekitaran kurang menyenangkan,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk meluluskan peruntukan RM164,000 bagi kos pembersihan dan baik pulih unit premis bermasalah di pangsapuri yang mempunyai tujuh blok itu.

Daroyah berkata, Majlis Perbandaran Selayang sudah mengeluarkan notis kepada JMB untuk menjalankan aktiviti gotong-royong tetapi tidak mendapat respon baik daripada penduduk sejak masalah itu dikenalpasti Pejabat Kesihatan Daerah Gombak dan dipanjangkan kepada MPS), pada April lalu.

daroyah02Selain itu, MPS diarahkan untuk mengkaji dan meneliti semula cara pelaksanaannya supaya kejadian sama tidak berulang lagi.

“MPS juga bertindak mengeluarkan notis kepada 243 pemilik unit kosong untuk menjalankan kerja pembersihan di kediaman milik masing-masing melalui penampalan notis pintu kediaman dan melalui pos kepada pemilik yang berada di luar kawasan menggunakan alamat dibekalkan.

“Selepas berlangsung beberapa siri gotong-royong melibatkan MPS, PKD, JMB dan penduduk setempat, daripada jumlah 243 unit kosong bermasalah, 67.1 peratus atau 163 unit kediaman sudah dibersihkan. Bagaimanapun, kejadian sedemikian tidak mustahil akan berulang jika tiada pemantauan berterusan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.