Categories
NASIONAL

Kim Swee akui terkejut pengunduran Aidil Zafuan dan Safiq Rahim

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JUL: Ketua jurulatih Skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui terkejut dengan keputusan dua tonggak utama, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan daripada pasukan bola sepak kebangsaan.

Katanya, beliau percaya kedua-dua pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan tersebut.

doks aidil“Bagi saya, ia satu kerugian tetapi jika benar ini keputusan mereka, kita harus menghormatinya kerana sudah pasti mereka berdua telah pun berbincang dengan keluarga masing-masing sebelum membuat keputusan.

“Saya percaya, ini merupakan keputusan peribadi dan kita perlu menghormatinya dan pada masa sama kita harus terus memikirkan siapa pengganti mereka yang perlu kita nilai dalam baki saingan Liga Super musim ini dan juga saingan Piala Malaysia yang baru bermula malam tadi untuk disenaraikan bagi menggalas tugas skuad Harimau Malaysia pada tugasan akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Kim Swee menjelaskan, pihaknya bersedia menilai semula kedudukan mereka berdasarkan prestasi semasa sekiranya Aidil dan Safiq menukar fikiran untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Kedua-dua pemain itu mengumumkan persaraan menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers semalam atas alasan mahu memberikan peluang kepada pemain muda mewakili pasukan negara pada perlawanan akan datang.

Aidil dan Safiq merupakan antara tonggak penting Harimau Malaysia ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.