Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KL Felda United lebur impian Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JULAI: KL Felda United menutup peluang Selangor untuk mengejar dua pasukan teratas Liga Super apabila mencatat kemenangan tipis 2-1, malam tadi.

Beraksi di Stadium Shah Alam, The Red Giants gagal menyaingi KL Felda United yang mempamerkan aksi bertenaga sejak awal permainan.

Pasukan Merah Kuning dikejutkan dengan jaringan awal Francis Forkey Doe seawal minit ke-3 hasil hantaran Zah Rahan Krangar.

Forkey Doe yang juga penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, berjaya melepasi perangkap ‘offside’ sebelum merembat rendah menewaskan Mohd Khairulazhan untuk gol ke-12 peribadi musim ini.

Selangor cuba bangkit mencari gol penyamaan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-17, namun dipersiakan Patrick Ronaldinho Wleh yang gagal menampan hantaran lintang Ahmad Hazwan Bakri dari sebelah kanan.

RED-GIANTS-660x471KL Felda United turut berpeluang melebarkan jaringan kepada 2-0 di babak pertama, namun tandukan Zah Rahan Krangar sekadar melewati palang gol Selangor.

Aksi babak pertama menyaksikan anak buah Irfan Bakti Abu Samah berjaya merantai gerakan serangan Selangor menerusi gandingan Patrick Ronaldinho Wleh dan Mauro Olivi.

Bersambung babak kedua, Cristie Jayaseelan hampir menggandakan jaringan KL Felda United, namun rembatan beliau berjaya dihalang pertahanan Selangor pada minit ke-55.

Detik yang dinantikan Selangor untuk menyamakan kedudukan 1-1 akhirnya menjelma menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-58 apabila beliau berjaya menolak masuk bola yang terlepas daripada dakapan penjaga gol Felda United, Mohd Farizal Harun.

Francis Forkey Doe sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring buat KL Felda United dengan gol ke-13 peribadi musim ini apabila berjaya merembat mudah ke gawang Selangor pada minit ke-67 selepas melepasi kawalan Ugochukwu Ukah bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Mohd Nazmi Faiz Mansor berpeluang menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-74, namun pemain tengah itu sekadar merembat liar ke gawang KL Felda United.

Selangor terus hampa dipenghujung perlawanan apabila Mohd Hafiz Kamal sekadar merembat lemah ke gawang KL Felda United.

Dengan keputusan itu, Selangor sekadar kekal di tangga ketiga dengan 26 mata, sementara KL Felda United terus memberikan cabaran kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut mencatatkan kemenangan dengan perbezaan dua mata dalam misi menjulang trofi Juara Liga Super 2016.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.