Categories
SELANGOR

Lab Smart Selangor permudah pelaksanaan polisi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Lab Smart Selangor diharap membuka jalan kepada
pelaksanaan polisi lebih menyeluruh bagi melancarkan agenda Smart Selangor.

Pegawai Alam Sekitar, Norfaiza Abdul Muin, berkata polisi itu perlu mengambil kira pandangan dan cadangan yang dikemukakan pihak berkepentingan sepanjang ‘lab’ diadakan.

“Selama ini, kita di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) ternanti-nanti satu polisi yang kukuh untuk digunapakai bagi pengurusan sampah misalnya.

“Buat masa ini, tiada polisi yang menjadi pegangan kita memandangkan Selangor menolak Akta 672 yang digunakan di peringkat Kerajaan Persekutuan,” kata kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ini kepada Selangor Kini.

Beliau merupakan salah seorang daripada 60 peserta Lab Smart Selangor Fasa 2 di Hotel Saujana di sini, hari ini.

Pandangan sama turut dikongsi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Nurhayati Sharifuddin.

“Kami berharap ia turut merangkumi bantuan kewangan kepada majlis daerah seperti kami yang mempunyai sumber kewangan terhad.

“Dengan sokongan Kerajaan Negeri dan anak syarikat, kami percaya agenda Smart Selangor mampu dijayakan dengan baik seterusnya menjadi ‘bench mark’ kepada negeri lain di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Jurasmadi Pauzi, mengingatkan agar sebarang polisi atau cadangan haruslah realistik.

“Lab Smart Selangor ini merupakan inisiatif penting bagi memastikan Kerajaan Negeri mendapat respon daripada pihak yang berkenaan.

“Maka, ia perlu dijalankan secara berterusan dalam setiap ‘domain’ bagi memastikan hasil yang menyeluruh dan mampu direalisasikan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.