Categories
SELANGOR

Laman Komuniti, MBSA tawar hadiah RM271,000

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 JUL: Warga Shah Alam berpeluang memenangi wang tunai keseluruhan berjumlah RM271,000 menerusi Pertandingan Laman Komuniti 2016.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad, berkata pertandingan terbuka kepada persatuan penduduk atau kumpulan komuniti dan individu di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Katanya, terdapat dua kategori iaitu Laman Komuniti Shah Alam dan Halaman Cantik Rumah Individu.

MBSA“Setiap kategori dinilai melalui nilai estetika merangkumi ruang landskap dan ruang tanaman.

“Ia perlu diusahakan dan diselenggara sendiri komuniti setempat secara bergotong-royong, penanaman pokok sayur-sayuran atau herba seperti cili, terung, sawi atau pokok hiasan, kekemasan dan kebersihan, penyelenggaraan serta perancangan dan susun atur,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kategori Laman Komuniti Shah Alam, penyertaan terbuka kepada persatuan penduduk atau kumpulan komuniti yang berminat.

Manakala, kategori Halaman Cantik Rumah Individu pula terbuka kepada individu yang terdiri daripada ahli persatuan penduduk atau kumpulan komuniti yang menyertai pertandingan Laman Komuniti 2016.

Terdapat empat jenis kediaman yang layak dipertandingkan bagi kategori Halaman Cantik Rumah Individu iaitu rumah banglo, rumah berkembar atau kluster atau lot tepi, rumah teres dan rumah tradisional.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Jabatan Landskap MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1218, 1298 dan 1284 atau layari laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.