Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Liga Super: Perlu atasi kelemahan untuk Selangor tundukkan Felda United

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 26 JULAI: Perlawanan menentang Felda United dalam Liga Super, malam ini amat penting dan Selangor perlu mencipta kemenangan dalam usaha terus menghidupkan peluang mencabar kejuaraan liga.

Sehubungan itu, Pengurus pasukan, Amirudin Shari, berkata pemain diharap memberi fokus dengan mengatasi kelemahan yang ada dalam pasukan seperti mana dialami ketika menentang Pulau Pinang dan Kelantan (Piala Malaysia), baru-baru ini.

Beliau berharap pasukan tidak mengulangi kesilapan sama hingga gagal merebut peluang terhidang dalam memburu kemenangan dan mengutip mata penuh.

RED-GIANTS-660x471“Kita kehilangan empat mata berharga ketika bertemu Kelantan dan Pulau Pinang walaupun kita menguasai perlawanan dengan mencipta banyak peluang keemasan.

“Diharap pemain dapat memperbaiki kelemahan ini termasuk kelekaan pada saat akhir yang telah menghukum kita,” katanya kepada SelangorKini di sini.

Selangor mencatat keputusan seri 1 – 1 ketika berdepan Pulau Pinang di tempat lawan, 23 Julai lalu serta Kelantan (3 – 3) di Stadium Shah Alam, 20 Julai lalu.

Keputusan itu menyebabkan The Red Giants ketinggalan di tangga ketiga dengan 26 mata berbanding Johor Darul Ta’zim (36) dan Felda United (34) dalam kedudukan liga selain berkongsi empat mata dengan Kelantan dalam Kumpulan B Piala Malaysia.

Amirudin berkata, berdepan Felda United di Stadium Shah Alam, boleh dianggap detik penentu dalam laluan The Red Giants melayakkan diri ke pertandingan Piala AFC tahun depan.

“Kalau kita dapat mengatasi Felda United maknanya kita ada lagi peluang untuk layak ke Piala AFC dan juga ada cahaya harapan sedikit untuk kejuaraan liga.

“Saya berharap semua pemain dapat memberikan fokus terutamanya di penghujung saingan liga yang saya pasti sangat mencabar,” katanya.

Katanya, masalah kecderaan dalam pasukan Selangor juga terkawal biarpun beberapa pemain seperti Andik Vermanshah dan Raimi Mohd Nor mengalaminya tambahan hanya ketua pasukan, Shahrom Kalam yang terpaksa berehat panjang.

“Cuma Ogos ini sangat mencabar kerana kita terpaksa bermain hampir sembilan ke sepuluh perlawanan termasuk perlawanan Piala Malaysia.

“Ini antara bulan penentu kepada mana-mana pasukan dalam liga sama ada mampu bertarung terus atau akan tergelincir daripada kedudukan semasa mereka,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.