Categories
SELANGOR

Majlis rumah terbuka bukan pembaziran

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUL: Majlis rumah terbuka Hari Raya dianjurkan oleh wakil rakyat bukan pembaziran.

Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata sebaliknya ia memberi peluang kepada rakyat merayakan Eidul Fitri lebih bermakna lagi dalam keadaan suasana ekonomi yang lembab dan kos sara hidup meningkat.

Katanya, banyak keluarga yang tidak dapat menikmati juadah istimewa lazimnya mengharapkan majlis rumah terbuka terbabit.

“Mereka tertunggu-tunggu majlis-majlis itu terutamanya kanak-kanak dan ada yang pergi dari satu majlis rumah terbuka ke satu majlis rumah terbuka yang lain untuk merayakan Hari Raya bersama keluarga dan pemimpin mereka.

“Mungkin bagi mereka yang sering menikmati hidangan yang istimewa majlis rumah terbuka ini kurang bermakna tetapi terdapat rakyat marhaen yang menganggap rumah terbuka ini sebagai satu-satunya saat kegembiraan bagi mereka sekeluarga,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata selain itu, majlis terbabit merupakan peluang bagi pemimpin dan rakyat beramah-mesra serta merapatkan hubungan di antara mereka.

“Ia juga dapat mengukuhkan tali silarturrahim di antara ahli masyarakat,” katanya.

Semalam, lebih 50,000 masyarakat berbilang kaum hadir di rumah terbuka negeri Selangor.

Sambutan Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat negeri yang berlangsung hari ini disifatkan manifestasi kepada semangat saling kenal mengenal yang dianjurkan oleh Al-Quran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata sambutan Eidul Fitr yang dihadiri oleh puluhan ribu rakyat adalah cerminan kesatuan ukhuwwah dan mahabbah rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.