Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB dapat izin ‘masuk’ Sarawak, rai kejayaan kontinjen SUKMA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 JULAI : Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin mendapat ‘keizinan’ daripada Ketua Menteri Sarawak memasuki negeri bumi kenyalang itu untuk meraikan kejayaan kontinjen Selangor pada aksi Sukan Malaysia (Sukma).

Bercakap kepada media di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pagi ini, Mohamed Azmin berkata perkara tersebut dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi Kerajaan Negeri Sarawak.

“Saya mendapat jaminan daripada Ketua Menteri untuk dibenarkan masuk ke Sarawak menerusi makluman rasmi Kerajaan Sarawak.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri yang memberi keizinan dan kelulusan kepada saya untuk masuk ke Sarawak,” katanya mengundang tawa kecil pemberita.

SarawakBeliau ditemui selepas hadir menyempurnakan Istiadat Sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri.

Mohamed Azmin sebelum ini dihalang memasuki negeri Bumi Kenyalang itu ketika siri jelajah kempen Pilihanraya Negeri Sarawak, Mei lalu.

Hanya selepas beberapa permohonan dibuat, Menteri Besar dibenarkan masuk untuk tempoh singkat sebelum hari pengundian dibuat.

Kerajaan Sarawak menerusi Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini bertindak keras mengeluarkan larangan kepada pemimpin pembangkang memasuki negeri itu.

Larangan tersebut kononnya dibuat bagi tujuan keamanan dan kestabilan negeri ekoran wujudnya tanggapan negatif mengenai pimpinan pembangkang.

Sementara itu, SelangorKini difahamkan Mohamed Azmin dijadualkan berlepas ke Sarawak petang ini untuk bertemu atlet dan pegawai Majlis Sukan Negeri yang bertungkus-lumus merealisasikan kejayaan kontinjen Selangor.

Terdahulu, kontinjen Selangor berjaya melepasi sasaran 48 pingat emas Sukma Malaysia sekaligus menjuarai kejohanan tersebut dengan kutipan 59 Emas, 73 Perak dan 62 Gangsa.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.