Categories
SELANGOR

MB hadiahkan pantun rai DYMM Sultan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 9 JULAI: Menteri Besar,  Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan keberangkatan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor sebagai amat bermakna.

Katanya, keberangkatan baginda dengan diiringi anakandanya, YTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi peluang kepada rakyat bertemu dan bermesra dengan baginda.

CP2A3044-800x533“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Selangor, patik menjunjung kasih dan merafak sembah di atas perkenan DYMM Tuanku berangkat mencemar Duli ke Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Eidul Fitr Peringkat Negeri Selangor, hari ini.

“Patik bersama keluarga besar pentadbiran Selangor amat terharu di atas perkenan Tuanku berangkat mencemar Duli buat kali kedua berturut-turut ke majlis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembahkan ucapannya pada majlis yang diadakan di Padang MPAJ AU2, Taman Sri Keramat, di sini hari ini.

Terharu dengan keberangkatan Sultan Sharafuddin, Mohamed Azmin turut menitipkan serangkap pantun empat kerat.

“Bukan kacang sebarang kacang;
Kacang melilit si kayu jati,
Bukan datang sebarang datang;
Yang datang rupanya junjungan hati,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.