Categories
SELANGOR

Muhyiddin: Selangor era Azmin lebih banyak memberi berbanding era Umno

OLEH NAZLI IBRAHIM

BUKIT BERUNTUNG, 30 JULAI: Orang ramai diingatkan supaya menghidari kepercayaan kononnya nasib rakyat menjadi tidak terbela sekiranya menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hal ini dibuktikan apabila kebajikan dan hak rakyat Selangor hari ini lebih terbela berbanding di era pentadbiran BN sebelum 2008.

“Ada tak Azmin membelakangkan hak orang Melayu? Malah saya lihat dia bagi lebih lagi daripada Khir Toyo, masjid pun dibuat, sekolah pun ada, bantuan pun masih diteruskan.

“Ini yang disebutkan tadi Pusat Khidmat Masyarakat tadi ada peruntukan nak diberi tetapi ini sebahagian sahaja, ada banyak lagi.

“Bila saya tanya lagi, adakah Kerajaan Selangor memperdayakan orang Melayu dan rakyat, Raja atau Sultan tidak lagi disanjung dan dihormati, agama Islam itu dicemari? Tidak ada pun. Jadi, adakah tiada Umno nasib kita menjadi tidak terbela? Tidak sama sekali,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri ‘Melakar Muafkat Baru’ di Bukit Sentosa di sini hari ini.

Jelas Muhyiddin, perkara itu dimaklum kepadanya oleh penduduk Selangor termasuk beberapa kenalan beliau yang tinggal di negeri itu.

Katanya, selain sentiasa menambahbaik program kebajikan untuk rakyatnya, Kerajaan Negeri juga menampakkan usaha berterusan bagi memastikan negeri itu kekal sebagai negeri termaju dalam pelbagai aspek.

Sementara itu, majlis itu turut dihadiri Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan pengunjung daripada pelbagai peringkat masyarakat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.