Categories
SELANGOR

Pelbagai perasaan penuhi ‘istiadat’ persaraan TYDP MPSJ

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 21 JULAI: Majlis Persaraan Timbalan Yang Dipertua (TYDP) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Abdullah Marjunid yang berlangsung semalam berjalan dalam suasana bercampur baur antara sayu dan lucu.

Suasana sayu mula dirasai apabila menyaksikan hari terakhir seorang lelaki berusia 59 tahun yang begitu lama mencurahkan khidmat dan baktinya dengan gigih kepada organisasi disayanginya dan masyarakat Selangor amnya.

ex timbalan ydp mpsjMengimbau kembali pengalaman susah dan senang ketika berkhidmat sebagai penjawat awam, Abdullah pada majlis ringkas itu berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah ketika berlaku kebakaran di pejabat MPSJ.

“Saya masuk di sini pada masa (masih) Majlis Daerah dahulu, ada beberapa bahagian sahaja. Sayalah mula-mula mengadakan ‘adhoc’ untuk Majlis Daerah Petaling ini dengan menubuhkan jabatan untuk memastikan kelancarannya,” katanya di Dewan Kenanga, Bangunan MPSJ di sini.

Bagaimanapun katanya, semasa beliau dan kakitangannya berusaha keras menaik taraf mutu perkhidmatan untuk masyarkat di kawasan pentadbirannya, berlaku satu kebakaran memusnahkan beberapa rekod penting termasuk rekod kewangan.

Katanya, selepas beliau dan beberapa kaitangan lain bekerja keras, isu itu berjaya diselesaikan dalam tempoh empat bulan berbanding lima bulan yang diberikan.

Selain ucapan Abdullah, tayangan video yang merakamkan pelbagai gelagat kakitangan MPSJ ketika memberikan ucapan kepada Abdullah turut mencuit hati para hadirin sekali gus menggamatkan dewan.

Antara yang paling menggamatkan dewan, idea kreatif memaparkan adegan bersahaja pegawai dan kakitangan Jabatan Perlesenan seolah-olah mahu menyampaikan mesej ‘kami sedih dengan perpisahan ini tetapi tanggungjawab perlu diteruskan’.

Sebaik selesai acara di dewan, Abdullah dengan diiringi YDP MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan turut bersalaman dengan kakitangan MPSJ yang berbaris di sepanjang lobi utama Bangunan MPSJ.

bersara 3Bagai menyaksikan satu ‘istiadat’ bersejarah, beliau kemudiannya berjalan menuju ke kenderaaan yang menanti di luar dengan iringan Perbarisan Anggota Pasukan Penguatkuasa MPSJ.

Sebelum meninggalkan Bangunan MPSJ, Abdullah turut menerima tabik hormat daripada Pasukan Perbarisan Penguatkuasa MPSJ buat kali terkahir sebagai simbolik hari terakhir perkhidmatan beliau.

Abdullah memulakan perkhidmatannya di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada 1981 hingga 1988 sebelum berpindah ke Majlis Daerah Petaling (1988-1992) dan kemudiannya Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) (1992-1996).

Pada 1996 hingga 2000, beliau bertugas di Majlis Daerah Hulu Langat (MDHL) sebelum ditugaskan di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) (2000-2005) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) (2005-2010).

Selepas menimba pengalaman di pelbagai PBT di Selangor, pada 1 Ogos 2010 beliau kembali bertugas di MPSJ.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.