Categories
SELANGOR

Pertandingan Landskap MBSA pupuk kesedaran hijau penduduk

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 JUL : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Pertandingan Landskap Komuniti 2016 bermula 30 Jun hingga 30 Disember ini.

Penyertaan terbuka kepada 24 Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Shah Alam dengan setiap penyertaan menerusi wakil penduduk atau persatuan kejiranan.

MBSA menerusi kenyataannya di Facebook berkata penyertaannya juga perlu mendapat sokongan daripada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Kawasan berkenaan.

MBSAJuara bakal membawa pulang wang tunai RM1,000, RM750 bagi pemenang tempat kedua dan RM500 di kedudukan ketiga.

Pertandingan terbuka kepada dua kategori iaitu Komuniti dan Invididu berpandukan beberapa kriteria nilai estetika kediaman, keceriaan, kebersihan, penyelenggaraan, perancangan dan susun atur.

Bagi kategori komuniti, keutamaan diberikan kepada beberapa kriteria utama antaranya kawasan pertandingan, keluasan kawasan, penyelenggaraan, pelan tindakan komuniti dan penglibatan badan berkepentingan.

Penganjuran pertandingan ini dibuat bagi memupuk semangat kejiranan dan interaksi sosial dalam kalangan penduduk.

Selain itu, ia dilaksanakan bagi tujuan menyemai rasa kesedaran dan tangungjawab terhadap kebersihan dan keindahan kawasan kediaman.

Sebarang pertanyaan berhubung pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Landskap MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1218, 1298 dan 1284 atau layari laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.