Categories
NASIONAL

Portugal juara Euro 2016, benam Perancis 1-0

OLEH AFIX REDZUAN

PARIS, 11 JULAI: Portugal dinobatkan sebagai Juara Piala Eropah 2016 selepas menang tipis 1-0 mengatasi Perancis dalam perlawanan yang berlarutan sehingga masa tambahan.

Jaringan tunggal Eder pada minit ke-109 masa tambahan sudah cukup meranapkan impian Les Bleus untuk menjulang piala buat kali ketiga selepas berjaya melakukannya sebanyak dua kali di hadapan penyokong sendiri.

Kejayaan Portugal itu dibayar dengan harga yang mahal selepas penyerang utama, Cristiano Ronaldo terpaksa meninggalkan padang ketika perlawanan berlangsung selepas 24 minit apabila mengalami kecederaan lutut kiri.

IMG_1350Aksi 90 minit pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan selepas mempamerkan aksi bertenaga di hadapan 76,000 penonton dalam usaha membawa pulang gelaran juara piala eropah.

Peluang terbaik Perancis hadir menerusi Moussa Sissoko pada babak pertama, namun rembatan kencang beliau pada minit ke-34 berjaya ditepis Rui Patricio.

Aksi berbeza dipamerkan Portugal yang nyata terjejas dengan kehilangan Ronaldo apabila terpaksa diusung keluar kesan terjahan keras yang dilakukan Dimitri Payet seawal minit kelapan.

Ketika perlawanan berlarutan hingga masa tambahan, Eder muncul wira Portugal apabila berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Berpunca daripada umpanan Joao Moutinho, Eder yang masuk pada minit ke-79 bagi menggantikan Ranato Sanches berjaya melakukan rembatan rendah ke kiri gawang Perancis bagi menewaskan Hugo Iloris untuk gol tunggal perlawanan.

IMG_1351Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Didier Deschamps cuba bangkit mencari gol penyamaan untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan kepada penentuan sepakan penalti, namun segalanya menemui jalan buntu.

Pujian perlu diberikan kepada kekebalan benteng pertahanan Portugal yang diketuai Pepe apabila berjaya merantai kemas gerakan dua penyerang Perancis, Antoine Griezman dan Olivier Giroud daripada menghasilkan gol.

Ini merupakan kejayaan pertama Portugal menjulang Piala Eropah selepas hampir melakukannya di hadapan penyokong sendiri pada 2004 sebelum tewas 0-1 di tangan Greece.

Sepanjang aksi Euro 2016, Portugal hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan ketika berdepan Wales di separuh akhir.

Secara keseluruhan, anak buah Fernando Santos hanya mencatatkan tiga keputusan seri pada tiga perlawanan pembukaan selain menang menerusi jaringan masa tambahan ketika bertemu Croatia di peringkat 16 pasukan terbaik dan penentuan sepakan penalti ketika bertemu Poland di suku akhir.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.