Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PTPTN potong bantuan, UNISEL sedia beri pelajar makanan percuma

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JULAI: Universiti Selangor (UNISEL) kini merancang untuk memberi makanan percuma kepada semua pelajarnya selepas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengurangkan jumlah bantuan.

Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UNISEL, Amidi Abdul Manan, berkata secara dasarnya program pemberian makanan percuma itu sudah mendapat kelulusan tetapi perlu diperhalusi untuk meringankan tekanan kos sara diri sepanjang mengikuti pengajian masing-masing.

UNISEL PELAJAR“Saya jangka, ia akan menelan kos RM2 juta setahun dengan jumlah pelajar UNISEL yang ada sekarang. Kita cuba buat dua hidangan setiap pelajar untuk siang dan malam kerana ada dalam kalangan yang bermasalah menampung perbelanjaan untuk makan dan UNISEL bantu apa yang mampu.

“Kelulusan di peringkat lembaga dah diluluskan dan kita akan angkat satu kertas bagaimana perkara ini boleh dilaksanakan seterusnya dibawa ke peringkat Kerajaan Negeri,” kata Amidi kepada SelangorKini.

Amidi berkata, pemberian makan percuma untuk dua hidangan itu membabitkan pemberian makanan asasi, nasi dan sayuran seperti yang dilaksanakan di beberapa universiti luar negara.

“Kita perlu memikirkan perkara ini demi kemajuan pelajaran mereka dan melalui kaedah ini pelajar dapat menjimatkan belanja makan kerana hanya perlu membeli protein sahaja untuk melengkapkan hidangan,” katanya.

Sebelum ini, UNISEL turut mengumumkan program yuran percuma kepada pelajar yang mengikuti pengajian tahun asas bagi membantu golongan itu menyambung pengajian terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah juga sederhana.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.