Categories
SELANGOR

RapidKL jangan bagi alasan, pastikan Bas Smart Selangor tiada masalah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 JULAI: Rapid Bus Sdn Bhd (RapidKL) perlu memastikan perkhidmatan Bas Smart Selangor lancar tanpa sebarang masalah.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, berkata alasan kesesakan lalu lintas tidak boleh diterima sebagai alasan perkhidmatan tergendala.

teng-chang-kim-1Katanya, perkhidmatan yang terganggu akan memberi kesan buruk kepada jenama Bas Smart Selangor yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, mereka sudah memohon maaf dan berjanji ia tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Mereka juga memberi jaminan untuk memantau pergerakan bas mereka secara manual bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, menerusi satu posting di Facebooknya, Chang Khim menggesa penjelasan RapidKL berhubung perkhidmatan Bas Smart Selangor di Klang yang didapati terganggu.

Menerusi terjahan dan pemerhatiannya, Chang Khim mendapati tiga bas berada dalam keadaan berhenti dan hanya satu berjalan dalam tempoh setengah jam, bermula 3 petang.

Chang Khim berkata, RapidKL memberikan dua alasan iaitu satu bas mengalami kemalangan kecil yang memerlukan laporan polis.

“Sementara alasan kedua kononnya berlaku kesesakan luar biasa ketika itu menyebabkan bas tidak dapat bergerak.

“Bagaimanapun, saya tidak berpuas hati kerana berada di sana ketika itu dan mendapati tidak berlaku kesesakan serius seperti diperkatakan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.