Categories
SELANGOR

Red Giants mahu balas dendam atasi PDRM

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pertemuan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam, malam ini dianggap Selangor medan terbaik bagi membalas dendam kekalahan dalam Piala FA, Mac lalu.

Menyedari kutipan mata penuh akan mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan pastinya menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri bagi mencatat kemenangan berharga itu.

“Memang terasa bila kita kehilangan mata dan terkeluar dari Piala FA ketika bertemu PDRM di Melaka dahulu, jadi kita harap keadaan ini tidak berulang.

RED-GIANTS-660x471“Malah motivasi pemain kini baik dan memberi lebih keyakinan selepas kemenangan pertama tempoh hari,” katanya.

Selasa lalu, The Red Giants memulakan kempen Piala Malaysia dengan mengalahkan Kuala Lumpur 1- 0 di stadium sama.

Kemenangan itu memberikan keyakinan kepada skuad Merah Kuning untuk mencatat kejayaan ke atas PDRM yang mengalahkannya 2 – 1 seterusnya tersingkir dalam Piala FA.

Ketiadaan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dirasai Selangor tambahan kecederaan dialami ketua pasukan, Shahrom Kalam, namun Zainal boleh mengantung harap kepada Razman Roslan dan Ugo Ukah yang bertindak cemerlang di betentang pertahanan.

“Razman dan Ugo mengendali pertahanan dengan baik setakat ini kerana pengalaman luas mereka dan menyesuaikan diri begitu cepat,” katanya.

Zainal dijangka menurunkan Bunyamin Umar bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Azrif yang berpindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kehilangan Azrif memberi peluang kepada pemain yang sesuai untuk mengisi kekosongan itu dan setakat ini Bunyamin paling sesuai,” katanya.

Apa pun Selangor yang kini di tangga ketiga liga dengan 22 mata perlu meraih kemenangan untuk terus mengejar JDT (30 mata) dan Felda United (28 mata) yang kini mengatasinya dalam liga.

Biarpun tidak mudah menghadapi PDRM tetapi Selangor tentu tidak mahu melepaskan peluang mengutip tiga mata penuh.

“Kita kena perbaiki kedudukan liga maka tiga mata amat penting malam ini dan pemain perlu mengambil peluang bermain di tempat sendiri,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.