Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Red Giants perlu perbaiki kesilapan, beraksi lebih baik

OLEH AFIX REDZUAN

KUANTAN, 31 JULAI: Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan sekadar melambaikan tangan dan melemparkan senyuman sebagai reaksi kepada petugas media yang menantinya sejurus perlawanan antara Pahang dan Selangor tamat semalam.

Beliau dilihat terus beredar pulang meninggalkan perkarangan stadium bersama kumpulan pemain dan petugas Selangor menaiki bas ke hotel tanpa memberikan sebarang ulasan mengenai persembahan anak buahnya yang tewas buat pertama kali dalam aksi peringkat Kumpulan B, TM Piala Malaysia.

Namun, Ketua Pasukan The Red Giants, Mohd Razman Roslan yang ditemui SelangorKini sejurus perlawanan tamat mengakui kecewa dengan kekalahan ini dan menyeru rakan sepasukan kembali bangkit memperbaiki kelemahan.

“Bagi saya, pemain perlu fokus dan tahu tanggungjawab untuk pasukan. Bukan mudah bermain untuk pasukan Selangor.

THE RED GIANTS“Kita perlu beraksi lebih baik dan memperbetulkan kesilapan dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Katanya, Selangor perlu bangkit segera untu perlawanan seterusnya selain beranggapan jadual yang padat merupakan perkara kedua kerana semua pasukan berhadapan situasi sama.

Sementara itu, Jurulatih Pahang, Mohamed Razip Ismail lega dengan kemenangan ke atas Selangor yang mampu menghidupkan peluang pasukannya untuk terus bersaing di dalam kempen TM Piala Malaysia.

Katanya, beliau mengakui tidak terkejut dengan keupayaan pasukannya semalam meskipun sebelum ini mempamerkan persembahan kurang konsisiten dalam beberapa perlawanan.

“Pemain menunjukkan permainan yang baik sejak awal. Bukan mudah berhadapan pasukan juara (bertahan) Selangor tambahan kami baru mengahdapi kekalahan dan mengalami sedikit tekanan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pemain kerana telah berusaha sejak mula hingga ke akhir permainan,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Darul Makmur semalam, Pahang berjaya menewaskan Selangor 1-0 menerusi jaringan tunggal Matthew Thomas Davies pada minit ke-31.

Selepas tiga perlawanan, persaingan Kumpulan B bertambah rancak apabila giliran Kelantan mengambil tempat selaku pendahulu kumpulan selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur yang menyaksikan mereka mengumpul tujuh mata diikuti Selangor kedua (empat mata) sementara Kuala Lumpur dan Pahang masing-masing mengumpul tiga mata.

Perlawanan seterusnya, Selangor bakal berkunjung ke Kuala Terengganu bagi berdepan saingan Terengganu T-Team dalam aksi Liga Super pada 3 Ogos ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.