Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Red Giants teruskan saingan bersama pemain sedia ada

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JULAI: Selangor bakal meneruskan baki saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia dengan barisan pemain sedia ada memandangkan tempoh jendela perpindahan permain berakhir tengah hari ini.

Pengurus Pasukan Selangor, Amirudin Shari, berkata walaupun beberapa nama dikenal pasti untuk dibawa masuk, namun sedikit masalah komunikasi yang berlaku membataskan hasrat itu.

amiruddin-saari“Kita sudah cuba (membawa pemain) tetapi menjelang jam 12 tengah hari nanti kita akan kekalkan pemain sedia ada setakat ini tanpa Mohd Azrif Nasrulhaq.

“Cubaan kita untuk mendapatkan pemain juga tidak berjaya kerana di saat akhir kita berhadapan sedikit masalah komunikasi,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan The Red Giants susulan pemergian tonggak pertahanan, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ke Johor Darul Takzim (JDT) semalam.

Namun, Amirudin melahirkan keyakinan terhadap pemain sedia ada untuk membawa cabaran Selangor meskipun ia tidak semudah dijangkakan.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) secara rasmi mengumumkan perpindahan Mohd Azrif Nasrulhaq ke JDT selepas kedua pihak mencapai kata sepakat tanpa mendedahkan jumlah nilai perpindahan.

Sebelum itu, Selangor turut melepaskan pemain import, Robert Cornthwhaite namun digantikan tonggak dari Nigeria, Ugochukwu Ukah.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.