Categories
SELANGOR

Selangor Food Stamp ditambah baik tepati golongan sasar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JULAI: Program Selangor Food Stamp akan ditambah baik daripada segi bahan barangan yang diedarkan selepas Aidilfitri, kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Daroyah berkata, pihaknya sudah berbincang dan mengenal pasti bentuk barangan yang akan ditukar supaya ia menepati golongan sasar.

“Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan bentuk barangan yang diberikan. Oleh itu, kita mengambil maklum perkara ini.

YB Daroyah“Jadi, kita sudah mengenal pasti bentuk barangan yang akan ditukar dan berbincang dengan pihak terbabit,” katanya kepada SelangorKini, baru-baru ini.

Daroyah berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan pemberian itu dinikmati golongan berpendapatan rendah dan mempunyai ramai tanggungan atau ibu tanggal bukan hanya memfokuskan warga emas sahaja.

Jumaat minggu ketiga setiap bulan dipilih sebagai Hari ‘Smart Selangor Food Stamp’ bermula 17 Jun ini.

Program terbabit bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan miskin yang mempunyai anak serta tanggungan ramai supaya mereka berkecukupan juga tidak kelaparan.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2016, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan RM3 juta bagi menjayakan ‘Smart Selangor Food Stamp’.

Seramai 5,600 keluarga termiskin di Selangor dijangka menerima manfaat program itu bersamaan 100 orang setiap DUN.

Antara kriteria kelayakan ialah pemohon mestil lahir atau bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun.

Terbuka kepada semua kaum, pemohon juga perlu berpendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah sebulan dan pemilih berdaftar di DUN berkenaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.