Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kejar misi pusat kecemerlangan ilmu serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan Negeri berhasrat merealisasikan Selangor sebagai pusat pembudayaan kecemerlangan ilmu serantau dengan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, sains dan teknologi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keperluan itu seiring gagasan Smart Selangor yang memberi penekanan terhadap inisiatif menyemarakkan ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Perspektif ekonomi khususnya dalam aspek ‘soft-sector’ bidang pengeluaran, pemindahan ilmu, produk budaya, hiburan dan sukan menjadi fokus kegiatan ekonomi yang perlu dibudayakan Kerajaan Negeri.

“Kapasiti itu menjadi iltizam Kerajaan Negeri membangunkan Selangor sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, pembangunan sains, teknologi dan inovasi serta bidang penerbitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Pesta Buku Selangor 2016 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, malam tadi .

IMG_6853Sebelum ini, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Kerajaan Negeri lebih bersedia terhadap sebarang cabaran untuk menjadikan Selangor sebagai hab pendidikan berkualiti.

Baginda bertitah, keperluan itu termasuklah insiatif meningkatkan aspek pendidikan membabitkan Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Menyambut baik titah baginda, Mohamed Azmin berkata, usaha terbabit digerakkan menerusi perancangan ekonomi jingga dan pelan pendidikan membabitkan kedua institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri itu.

“Selangor memberi dimensi baru dalam ekonomi menerusi penekanan terhadap keperluan merangsang ekonomi jingga yang dalamnya mengandungi pelbagai industri buku dan kreatif,” katanya.

Tidak terhenti setakat itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga terus konsisten memastikan prasarana pendidikan terus dipertingkatkan demi manfaat jangka panjang rakyat Selangor.

Katanya, ia termasuk inisiatif menyediakan pelbagai bahan bacaan bermula di peringkat kanak-kanak dan dewasa di perpustakaan dan pesta buku.

“Saya yakin insiatif ini berperanan besar untuk memupuk semangat membaca, merangsang naluri cintakan buku yang membawa kepada peningkatan ilmu.

“Pelaksanaan program ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi ‘smart’ di Selangor,” katanya.

Pengajuran Pesta Buku Selangor 2016 bagi tahun ke-11 pada 28 Julai hingga 7 Ogos ini menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan kepada masyarakat.

Program itu adalah antara pengisian menarik sempena Hari Ilmu Selangor yang dilaksanakan sejak 2010 dengan tema ‘Syoknya Membaca’.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.