Categories
SELANGOR

Selangor sedia bertindak terhadap penularan dakyah IS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JUL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sentiasa memantau dengan dekat sebarang penyebaran dakyah atau propaganda kumpulan militan Negara Islam (IS) di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata selain pemantauan dijalankan JAIS dan MAIS, orang ramai juga diseru berkerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti gerakan ini.

yunuskhairi-web4“JAIS dan MAIS sentiasa memantau rapi kalau ada sebarang penularan IS di Selangor dalam apa bentuk sekalipun termasuklah jika ada sebarang bentuk penerbitan dalam Bahasa Melayu.

“Hingga kini belum ada sebarang maklumat yang mendakwa ada penerbitan Bahasa Melayu mengenai IS. Kalau ada JAIS dan MAIS akan mengambil tindakan segera.

“Saya juga berharap masyarakat awam dapat berkerjasama dengan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya mengetahui ada aktiviti IS di Selangor,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, JAIS dan MAIS sentiasa memandang berat terhadap setiap laporan dikemukakan dengan membuat siasatan rapi bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Katanya lagi, selain melaporkan kepada JAIS atau MAIS, masyarakat awam juga boleh melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.