Categories
SELANGOR

Smart Selangor mampu cipta pentadbiran bersepadu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JULAI: Gagasan Smart Selangor diyakini mampu membawa negeri terkaya itu ke arah pentadbiran dan pengurusan yang lebih bersepadu dan menyeluruh.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata pembangunan berorientasikan ‘internet of things’ itu tidak terhad di kawasan bandar raya dan perbandaran sahaja.

“Menariknya, cadangan pembangunan itu turut mengambil kira penduduk dan kawasan luar bandar.

“Jadi, kita di sini berkongsi pelbagai maklumat dalam membantu mengemas kini apa yang diperlukan untuk menjadikan Selangor sebagai Smart City,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika menghadiri Lab Smart Selangor Fasa Dua – ‘Smart Governance’ di sini, semalam.

SHAHRINPada masa sama, Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Fazlina Hashim, berkata ‘data base’ menyeluruh perlu dipertimbangkan bagi melicinkan tadbir urus data.

“Seperti sekarang, ramai keliru fungsi antara Pejabat Tanah dan Daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau boleh, perkara sebegini perlu bersifat ‘centralised’ untuk mempercepatkan sebarang urusan,” katanya yang pernah bertugas di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Helmey Abd Rashid, pula berkata ‘Smart Selangor’ berupaya mewujudkan jaringan perhubungan lebih interaktif di antara kerajaan tempatan dan komuniti.

“Kita mahu satu sumber yang boleh diakses untuk sama-sama memantau ‘performance’ masing-masing.

“Penjawat awam juga harus lebih mesra dan jangan jadi ‘little Napoleon’ menggunakan kuasa menekan orang ramai yang kadangkala mempunyai persepsi salah berkenaan kerajaan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.