Categories
SELANGOR

Sukma 2016: Asif harap terus beraksi cemerlang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 28 JULAI: Pelari Selangor, Asif Rahman Jiyaudeen memperoleh pingat emas dalam acara 800 meter lelaki pada saingan akhir Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Stadium Sarawak, di sini, semalam.

Memulakan perlumbaan dengan baik, beliau berjaya mencatat masa 1 minit 54.41 saat untuk memenanginya.

Asif turut menerima saingan sengit daripada rakan sepasukan, Putra Azrul Sazwan Azman yang bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua (perak) diikuti pemenang gangsa, Raymond Yew (Sabah).

Ia nyata detik gembira dalam hidup Asif apatah lagi ini kali pertama penyertaannya dalam Sukma.

344A2496“Saya gembira kerana berlumba kali pertama di Sukma dan berjaya.

“Memang saya ingin menang dan meningkatkan persembahan pada peringkat akhir,” katanya kepada SelangorKini.

Kemenangan itu menguatkan semaangat Asif untuk memenangi acara 1,500 meter yang akan disertai selepas ini.

“Acara ini menjadi kegemaran saya dan saingan tetap datang daripada Putra juga di samping peserta lain.

“Saya harap berjaya, namun biarlah satu dua antara saya dan Putra,” katanya.

Sementara itu, Putra menjelaskan persaingan bersama Asif memberi kebaikan kepada mereka untuk meningkatkan prestasi.

“Saya dapat perak tetapi tetap gembira kerana pada Sukma 2014 hanya dapat tempat keenam.

“Dalam 1,500 meter nanti saya dan Asif akan bersaing lagi dan tidak kira siapa menang tetapi diharap Selangor nombor satu dan dua,” katanya.

Selepas Sukma, Asif dan Putra akan menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia, September ini dan tumpuan adalah meningkatkan prestasi untuk layak ke Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.