Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sukma 2016: Farina Shawati cipta kenangan manis

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 26 JULAI: Kejayaan diraih dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di sini, memahat kenangan manis buat Farina Shawati Mohd Adnan ekoran ia penyertaan terakhirnya.

Atlet berbasikal Selangor dan negara ini berjaya menepati sasaran memenangi dua pingat emas, malahan menyifatkannya sebagai bonus kerana menambah satu pingat gangsa.

“Alhamdulillah dengan kemenangan ini serta terima kasih kepada jurulatih dan semua yang menyokong.

“Saya sudah cuba yang terbaik dan gembira mencapai sasaran ini,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Farina Shawati mengungguli acara 200 meter pecut berbasikal pada 20 Julai dan 500 meter ujian masa individu (21 Julai) untuk dua emas, manakala gangsa dalam 48 meter kretarium wanita.

markshort farinashawatiDalam 200 meter pecut berbasikal, beliau mengatasi rakan sepasukan, Nurul Alissa Mohamad Azman apabila merakam catatan 13.261 saat pada pusingan pertama dan 13.440 saat di pusingan kedua, manakala untuk 500 meter ujian masa individu pula dengan catatan masa terpantas 37.123 saat mengalahkan pelumba Perlis, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi.

Gadis berusia 20 tahun itu nyata gembira dengan kemenangan terbabit sambil menyifatkannya kejayaan pasukan dan Selangor.

Kemenangan dicatat dalam 48 meter kretarium bagi dirinya di luar dugaan kerana tidak menaruh harapan serta menghadapi saingan sengit daripada pelumba Terengganu yang menjadi pilihan untuk menang.

“Tidak sangka boleh menang gangsa tetapi ia rezeki untuk Sukma terakhir saya,” katanya yang mesra disapa Mekna.

Selepas berakhir Sukma, beliau akan kembali menyertai latihan pasukan kebangsaan serta memberi tumpuan terhadap acara pecut dan ujian masa sebagai persiapan menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Sea 2017 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.

“Saya akan bersama pasukan kebangsaan selepas ini untuk sesi latihan dan tentunya dalam persiapan bagi Sukan Sea tahun depan.

“Selain itu, saya juga terbabit dalam beberapa siri GP seperti di Jepun sebelum ke Sukma dan selepas ini ke India,” katanya juga menang dua emas di Sukma Perlis 2014.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.