Categories
SELANGOR

Sukma 2016: Pasukan berbasikal konsisten cipta kejayaan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 27 JULAI: Pasukan berbasikal Selangor akan terus berusaha mencipta kemenangan dalam baki penyertaan di Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di sini, selepas ini.

Pasukan terbabit menepati sasaran meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa dimahukan Persatuan Berbasikal Negeri Selangor sekali gus meniupkan semangat untuk merakam kejayaan seterusnya dalam acara perlumbaan DHI dan XCO serta BMX yang bakal disertai.

“Tahniah kepada pelumba kerana berjaya mencapai sasaran.

“Kita akan terbabit dalam beberapa perlumbaan lagi dan pelumba lelaki serta wanita akan terus berusaha menambah kutipan pingat,” kata jurulatih, Mahadzir Hamad kepada SelangorKini.

coach basikalPasukan terbabit merangkul dua emas dalam acara 200m pecut berbasikal dan 500m ujian masa individu wanita diraih Farina Shawati Mohd Adnan, manakala dua perak daripada Akmal Hakim Zakaria (142km individu lelaki lepas beramai-ramai) dan Nurul Alissa Mohamad Azman (200m pecut berbasikal wanita).

Dua pingat gangsa pula dicipta dalam acara 142km berpasukan lelaki lepas beramai-ramai serta Farina Shawati (48m kretarium wanita).

Mantan pelumba negara itu berkata, pelumba berbasikal Selangor ke kejohanan itu menjalani latihan rapi lebih sebulan lalu bermula pada bulan puasa.

Mahadzir berkata, pelumba terbabit dengan program bersama Majlis Sukan Negara (MSN) meneruskan latihan bersama badan sukan induk itu, manakala sebahagian lain bersama pasukan negeri termasuk berlatih di luar negara.

“Mereka semua sudah mencuba dan melakukan terbaik untuk mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 10 pelumba lelaki dan tujuh pelumba wanita mewakili Selangor dalam kejohanan dwi tahunan itu.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.