Categories
SELANGOR

Sukma2016: Yi Wei kuasai acara terjun untuk emas Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 23 JULAI: Penerjun Selangor, Chew Yi Wei memenangi pingat emas acara akhir 3 meter papan anjal lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Pusat Akuatik Sarawak, di sini, hari ini.

Ia adalah satu daripada lima emas disasar pasukan renang Selangor dalam aksi akhir berlangsung di kompleks sukan berkenaan.

Emas ketujuh bagi kontinjen Merah Kuning diraih atlet negara itu menepati ramalan dengan menguasai acara itu sejak dari awal untuk pungutan mata 422.85.

SUKMA-SARAWAK-300x185Pingat perak dan gangsa diraih peserta tuan rumah, Slyvester Anak Peter Jawa (kedua) (358.8) dan Carlyse Chan Wee Cheik (ketiga) (353.5).

Yi Wei, 21, mempamerkan aksi menyakinkan dari awal bagi memungut mata tinggi dengan beberapa terjunan mengkagumkan untuk menjarakkan diri daripada pesaingnya.

Biarpun agak kurang dicabar namun atlet berasal dari Klang itu berusaha gigih untuk mengungguli acara berkenan.

“Saya tetap berpuas hati dengan pencapaian ini dan telah mencuba yang terbaik.

“Mungkin lebih baik sedikit prestasi jika mendapat cabaran,” katanya kepada media selepas menyertai acara itu.

Menyertai Sukma ini buat kali kelima dan terakhir, beliau menjelaskan, ia adalah emas kelima buat dirinya dan ketiga dalam acara itu.

Turut bertanding dalam acara 10m papan anjal lelaki, Yi Wei berkata, selepas mnyertai Sukma beliau akan terus menjalani latihan secara berterusan bagi meningkatkan prestasi seterusnya melayakkan diri ke Olimpik 2020.

“Saya berazam layak ke Olimpik Tokyo empat tahun lagi selepas gagal ke Olimpik Rio tahun ini,” katanya yang hanya menyertai kem Selangor dua hari sebelum kejohanan kerana menyertai latihan negara di China.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.