Categories
SELANGOR

TM Piala Malaysia: Selangor tewas tipis di Darul Makmur

OLEH AFIX REDZUAN

KUANTAN, 30 JULAI: Aksi tidak konsisten Selangor berterusan apabila tewas 1-0 di tangan Pahang dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan TM Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur.

Turun dengan reputasi kurang membanggakan selepas dua keputusan seri selain tewas kepada KL Felda United pada Rabu lalu, Selangor dilihat gugup berdepan Pahang meskipun berjaya menewaskan lawan sama pada awal musim.

Aksi babak pertama menyaksikan Pahang lebih menguasai permainan dengan gerakan pantas ke kubu Selangor bagi mencari gol pembukaan.

Pahang berpeluang mendahului perlawanan pada minit ke-22 menerusi Pablo Andres Vraniican namun rembatannya berjaya dihalang pertahanan Selangor, Ugochukwu Ukah.

Usaha tuan rumah yang terus menyusun gerakan dan mengasak akhirnya berhasil apabila terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi tandukan Matthew Thomas Davies pada minit ke-31

Segalanya bermula dari satu serangan balas pantas menerusi gerakan Faysal Shayesteh sebelum Dinesh Rajasingam melakukan hantaran lintang ke tengah dan akhirnya berjaya ditanduk kemas Thomas Davies.

Sejurus kemudian, Pahang terus mengasak bagi melebarkan kedudukan namun ia berjaya dikawal kemas penjaga gol Selangor, Mohd Khairul Azhan.

Selangor cuba merencana beberapa serangan dari tengah menerusi gandingan Muhamad Nazmi Faiz Mansor dan Ahmad Hazwan Bakri namun gagal merobek kekebalan benteng pertahan Pahang yang berjaya merantai pergerakan Patrick Ronaldinho Wleh serta Mauro Olivi.

Bersambung babak kedua, Selangor kembali menyusun gerakan dengan membawa masuk R Gopinathan dan Adam Nor Azlin bagi memantapkan jentera serangan namun masih belum mampu menggugat kedudukan Pahang.

Pahang hampir melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-68 namun Kogileswaran Raj gagal menolak masuk bola ke gawang Selangor selepas menerima hantaran Faysal Shayesteh meskipun Mohd Khairul Azhan sudah tertewas.

Pada minit ke-72, giliran Faysal Shayesteh mensia-siakan peluang terhidang apabila lambungannya sekadar singgah di palang gol Selangor selepas melakukan larian pantas meskipun berjaya mengatasi Mohd Khiarul Azhan di gawang gol.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat permainan yang menyaksikan Selangor turun ke tangga kedua Kumpulan B dengan empat mata selepas pesaing utama Kelantan mencatatkan kemenangan 1-0 mengatasi Kuala Lumpur di Kota Bharu untuk merampas kedudukan pendahulu dengan tujuh mata.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.