Categories
NASIONAL

Tuduhan terhadap Guan Eng: Era baru politik jijik tajaan BN

OLEH : DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Tuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menandakan bermulanya satu era baru politik kotor lagi jijik tajaan Umno BN sejak pendakwaan berniat jahat dan melampau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir dua dekad lalu.

Namun, pendakwaan dan penganiayaan terpilih terhadap Guan Eng hari ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan kita. Ia sudah dapat dijangka apabila mengambil kira kempen berlarutan melibatkan cercaan dan pembunuhan watak oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak terhadap rakan seperjuangan saya Guan Eng.

Pendakwaan hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terancang seorang individu terdesak yang untuk terus bergayut pada dahan kekuasaan dengan menggunakan apa-apa cara sekali pun.

Individu ini tergamak mengheret negara kita bergelumang dalam keaiban dan skandal semata-mata kerana ingin terus kekal menjadi Perdana Menteri.

Lim 1Pendakwaan terhadap Guan Eng hari ini juga melengkapkan siri kejadian sepanjang minggu ini yang bermula dengan pemecatan Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir, serta penggantungan Shafie Apdal daripada Umno.

Ia kemudian disusuli dengan serangan bertali arus media terhadap Dr Mahathir Mohamad dan usaha berterusan memperlekehkan Deklarasi Rakyat.

Pada masa sama, seorang mufti negeri (bukan mufti Selangor) bertindak melabelkan ahli-ahli DAP sebagai “kafir harbi”. Kini, Guan Eng pula diseret ke mahkamah.

Amat jelas sekali bahawa tuduhan-tuduhan terhadap Guan Eng di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah bermotifkan politik, berniat jahat dan satu bentuk salahguna kuasa eksekutif secara terang-terangan.

Tuduhan ini dipalitkan kepadanya sewaktu lambakan bukti rasuah, penggubahan wang haram dan salahguna kuasa terhadap Perdana Menteri Najib Razak tidak langsung membuahkan sebarang siasatan serius dan bersungguh-sungguh apatah lagi membawa kepada pendakwaan jenayah.

Hakikatnya, kuasa boleh disalahguna untuk menindas dan ketidakadilan. Dalam kes Guan Eng hari ini, bukti-bukti yang ada di depan mata amat kuat untuk membebaskan beliau daripada tuduhan-tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Guan Eng TangkapJusteru, Najib Razak sebenarnya telah pun bertindak melangkaui sempadan salahguna kuasa tersebut apabila memulakan dakwaan-dakwaan ini terhadapnya.

Benar Najib mempunyai kuasa terhadap semua perkakas kuasa – yang kini sama sekali tiada imbang periksa sebaik sahaja Akta Majlis Keselamatan Negara diluluskan.

Namun, beliau harus beringat yang sejarah membuktikan bahawa diktator-diktator dengan kuasa yang tidak terbatas sekali pun pernah tersungkur apabila rakyat bangkit menumbangkan mereka.

Pembangkang kini perlu bersatu dan kekal fokus kepada perjuangan tunggal kita.

Kita mahu bersihkan pertiwi ini daripada wabak rasuah di peringkat tertinggi, salah guna kuasa yang tidak terbendung serta bebas daripada cengkaman sekumpulan elit yang berterusan menjarah sumber negara demi memuaskan tembolok nafsu mereka.

Kini masanya untuk kita mengenepikan prejudis dan perbezaan pada masa lalu dan kembali mengatur langkah bersama. Kita wajib membulatkan muafakat, jauh lebih teguh dari sebelum ini, dan bersama membina blok pembangkang yang kuat untuk Pilihan Raya Umum akan datang.

Kita juga harus ingat bahawa Guan Eng belum bersalah selagi belum dibuktikan bersalah melampaui secebis keraguan sekalipun seperti diperuntukkan undang-undang.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bukan semata-mata bersangka baik terhadapnya. Tetapi, saya juga amat yakin yang beliau tidak bersalah sama sekali dalam tuduhan ini.

Saya juga yakin jika perbicaraan ini bebas daripada campur tangan eksekutif dan kehakimannya tidak tunduk kepada sebarang tekanan secara langsung ataupun tidak langsung, Guan Eng pastinya akan dibebaskan dan nama baiknya dibersihkan.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published.