Categories
SELANGOR

Warga Sabah teruja hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KLANG, 10 JULAI: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri turut menarik perhatian masyarakat luar Selangor termasuk empat sekeluarga dari Ranau, Sabah yang kini menetap di Shah Alam.

Kakitangan sokongan teknikal sebuah syarikat swasta, Florianne Daumin, 28, berkata majlis itu turut menyediakan pelbagai pilihan juadah yang enak selain mampu menjadi landasan menjalinkan hubungan antara kaum.

Kecil DSC_3875“Sangat menarik. Makanannya banyak pilihan dan sedap, orang pun ramai dan semua pakai baju cantik. Tambah meriah lagi ada Jamal Abdillah. Tempat pun sesuai, tak sesak dan disediakan van shuttle.

“Hidangan pilihan saya selain buah tempatan sudah tentu lemang dan rendang kerana ia memang sedap dan makanan wajib ketika raya,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Padang MPAJ AU2, Taman Sri Keramat, di sini, semalam.

Sepupu Florianne yang juga chef sebuah hotel di Lembah Klang, Melvin Gatu, 25 pula menyifatkan juadah disediakan bertepatan dengan tema menyambut perayaan Aidilfitri.

Kecil DSC_3874“Bagi saya suasananya sungguh meriah. Saya tengok ada ramai terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan Sabah serta Sarawak seperti kami. Keadaan ini seolah-olah majlis perjumpaan semua kaum. Ini sangat baik untuk mengeratkan hubungan sesama kita tanpa mengira apa juga latar belakang.

“Masakannya hari ini pula saya dapati bertemakan hari raya bertepatan dengan majlis ini. Makanan wajib lemang, rendang, ketupat, sate dan pelbagai juadah lain yang sinonim dengan perayaan Aidilfitri sudah tentu menjadi pilihan ramai.

“Juadah paling menarik perhatian saya adalah Laksa Penang kerana memang menggemarinya sejak masih belajar di Pulau Pinang dahulu,” katanya.

Kehadiran Florianne dan Melvin turut disertai dua lagi saudara mereka untuk merasai sendiri kemerihan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Selangor.

Kecil DSC_3877Pesara kerajaan, Abu Bakar Nordin, 75, berkata majlis seumpama itu perlu diadakan setiap tahun kerana memberi peluang kepada rakyat Selangor bertemu DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan lebih dekat lagi.

“Saya fikir majlis seperti ini memang bagus kalau diadakan selalu kerana kita berpeluang bermesra dengan Sultan Selangor.

“Alhamdullilah, makanan memang mewah dan hebat belaka rasanya sampai tak termakan dan bila kita makan pula duduk bersama orang Cina, India dan lain-lain.

“Bila dah duduk sebelah menyebelah tu, kita pun bertegur sapa, tanya datang daripada mana dan berbual. Memang bagus,” katanya.

Kecil DSC_3892Sementara itu Ketua Komuniti India Selangor, R Kalaivany, 42, memuji langkah menyediakan kenderaan pengangkutan pengantara atau ‘shuttle van’ bagi membawa orang ramai ke tapak majlis.

“Kita boleh nampak ramai kaum berkumpul satu tempat, sungguh meriah. Lokasinya juga bersesuaian. Bas turunkan kita di hadapan, memang jauh kalau kita nak berjalan kaki tetapi ada disediakan ‘shuttle van’ untuk bawa kami hingga betul-betul di depan ini,” katanya.

Menyentuh juadah pilihannya, Kalaivany memberitahu dia memilih nasi beryani ekoran masakan Melayu memiliki rasa berbeza dengan yang disediakan kaum India.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.