Categories
SELANGOR

Zainal: Permainan Bunyamin membanggakan, isi kekosongan Azrif

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JUL: Zainal Abidin Hassan berpuas hati dengan persembahan membanggakan ditunjukkan Bunyamin Umar di bahagian pertahanan ketika perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), malam tadi.

Dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam di sini, mantan ketua pasukan itu diturunkan bagi mengisi kekosongan pertahanan kanan ditinggalkan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang berpindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dengan pengalaman dimiliki, Bunyamin berjaya mengemudi bahagian terbabit dengan berkesan.

sel-pdrm1“Bunyamin seorang pemain berpengalaman dan dia mengisi kekosongan itu serta menjalankan tugas dengan baik.

“Saya harap dia mampu mengekalkannya,” katanya kepada media selepas perlawanan berkesudahan Selangor menang 2 – 1.

Azrif meninggalkan Selangor dan berhijrah ke JDT sehari sebelum jendela perpindahan pemain ditutup kelmarin.

Zainal juga berharap penyerang utama, Patrick Ronaldinho Wleh akan kembali dengan sentuhan jaringan tajam bagi memperkuatkan bahagian hadapan Selangor.

Penyerang import Liberia itu mempamerkan penyudahan berkesan melalui gandingan mantap bersama penyerang lain yang memberi kelebihan kepada The Red Giants mengatasi lawan.

“Saya tidak nafikan Ronaldinho tidak berada pada tahap diinginkan dan diharap beliau akan bangkit dengan persembahan terbaik selepas pengurusan memanggilnya,” katanya.

Sepertimana perlawanan menentang Kuala Lumpur, Selasa lalu, Zainal turut bertindak mengeluarkan Ronaldinho pada minit ke 70 dan digantikan Hafiz Kamal dalam permainan malam tadi.

Beliau berkata, Ronaldinho kini mula mempamerkan kesungguhan dan tidak menghadapi masalah dari segi sikap dan kecergasan.

Setakat ini, Ronaldinho muncul penjaring terbanyak pasukan dengan tujuh gol dan menghuni kedudukan ketiga senarai penjaring terbanyak Liga Super bersama Blazhe Ilijoski (Kelantan) dan Elias Fernandes de Oliveira (Perak) manakala Juan Martín Lucero (JDT) bersama Francis Forkey Doe (Felda United) mendahului dengan 10 gol.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.