Categories
SELANGOR

Bantuan khidmat peguam bantu masyarakat kurang berkemampuan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 21 OGOS: Pejabat Ahli Parlimen Klang, menawarkan bantuan khidmat peguam untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan bagi membiayai kes-kes tertentu.

Charles Santiago berkata bantuan khidmat peguam yang disediakan ialah seperti isu tanah, pengguna, sivil, jenayah dan sebagainya.

Katanya, seramai empat peguam akan memberikan khidmat nasihat di pejabatnya kepada orang ramai.

“Sebelum ini, setiap Khamis kita lakukannya. Namun, kali ini minggu ke tiga setiap bulan orang ramai boleh hadir ke pejabat kita,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui.

Charles berkata khidmat guaman percuma itu mendapat sambutan yang menggalakan dari masyarakat setempat.

“Apa yang kita lihat ramai yang datang bukan sahaja dari daerah Klang tetapi juga kawasan lain seperti Ampang, Puchong, Bangi dan sebagainya,” katanya.

Charles berkata, orang ramai yang kurang berkemampuan boleh datang ke pejabatnya jika punyai sebarang masalah untuk menyelesaikan kes di mahkamah.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana peguam disediakan adalah bertauliah dari Majlis Peguam Selangor,” katanya.

Bantuan khidmat guaman percuma itu diadakan setiap minggu ketiga setiap bulan dari jam 10 pagi hingga 1 petang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.