Categories
NASIONAL

Bekas pemegang jawatan tinggi negara perlu tampil nyata pendirian

SHAH ALAM 16 OGOS: Bekas pemegang jawatan tertinggi negara digesa berani berdiri menyuarakan pandangan terhadap isu penyelewengan paling besar sejak merdeka iaitu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub, berkata semua tokoh penting negara termasuk cendikiawan, budayawan, karyawan, seniman, ahli akademik, agamawan dan ahli politik disaran tampil menyatakan pendirian.

“Saya yakin, tokoh seperti bekas Ketua Turus Tentera, bekas Ketua Polis Negara, bekas Peguam Negara dan hakim-hakim, bekas Ketua Setiausaha Negara dan bekas kakitangan tinggi kerajaan yang lain telah berkhidmat dengan penuh integriti dan menamatkan karier mereka dengan moral sangat tinggi.

“Alangkah baiknya kedudukan mereka mulia dan tinggi di sisi masyarakat, dimanfaatkan pula untuk menjadi pembela kepada perjuangan rakyat dan negara khususnya dalam menegur pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang hari ini sangat kritikal ekoran skandal 1MDB,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata rakyat terus menyanjung mereka di atas jasa kepada rakyat dan negara justeru wajar untuk mereka mewujudkan gelombang baru dalam kelompok mereka sendiri yang pastinya dapat memberi kesan besar kepada kesedaran rakyat dalam mempertahankan maruah negara.

“Meskipun mungkin mempunyai pandangan politik berbeza, saya yakin, kita semua dapat bersatu dalam usaha menentang penyelewengan yang tiada tara ketika ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.