Categories
KENYATAAN MEDIA

Bina Malaysia sejati yang sejahtera lagi sentosa

OLEH: DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Bagi pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh warga KEADILAN, kami mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia walau di mana mereka berada.

Alhamdulillah, kita bersyukur dengan penanda masa hayat dan saat renungan riwayat kemerdekaan negara kita Malaysia yang ke-59 tahun.

Semangat kemerdekaan tidak harus diasaskan dengan slogan semata-mata.
Bagi KEADILAN, yang penting adalah pengisian merdeka itu sendiri. Iaitu, menjadi tugas kita untuk mempaksikan asas kemerdekakan rakyat, dengan membebaskan mereka daripada belengu kejumudan, kemiskinan dan kemelaratan.

Merdeka dalam erti kata kita punyai kesepakatan bersama untuk menjamin semua rakyat berbilang kaum dan agama, menikmati kesejahteraan ekonomi secara saksama, mengetepikan fahaman politik kepuakan yang sempit dan memulihara kesederhanaan dalam menyeimbangi sistem sosial.

Oleh itu Hari Kebangsaan harus mencetus ‘Kebanggaan’ di atas pencapaian kita dan juga pada masa yang sama menjadi saat untuk bermuhasabah menilai sejauh mana janji kemerdekaan, pembangunan dan perkongsian hasil negara yang adil dinikmati semua bukan segelintir.

CP2A1212-1024x683Hari Kebangsaan menjadi pengukur meneliti segala bentuk pemisahan atau jurang pendapatan, jurang hak kesaksamaan dan jurang demokrasi yang semakin melebar sehingga makna kemerdekaan tidak dirasai semua.

Hari Kebangsaan harus mencetus dan membaharukan iltizam untuk membetulkan segala kesilapan, menambahbaikan yang kurang dan mempertahankan hak sejagat rakyat demi membina Malaysia yang lebih baik.

Hari Kebangsaan yang dipilih tema ‘Sehati Sejiwa’ akan lebih bermakna apabila wujud kedudukan ‘Serata’ antara kita rakyat berbilang bangsa, wujud fikrah ‘Sehaluan’ dengan citra negara yang menjamin masa depan negara.

Justeru kita semua mesti ‘Sepakat’ membawa perubahan dan ‘Seazam’ menghalang suara dan tindakan mereka yang jelas ‘Subahat’ dengan anasir-anasir yang memecahkan bukan menyatukan kita.

Akhir sekali mari kita bersatu membina Malaysia yang Sejati yang Sejahtera lagi Sentosa untuk Semua.

Selamat Hari Merdeka

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
31 Ogos 2016