Categories
SELANGOR

Cegah lebih baik dari ubati, Selangor serius tangani HFMD

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 OGOS : Selangor memandang serius kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang semakin menular dalam kalangan kanak-kanak di bawah 10 tahun.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pihaknya komited mengambil tindakan pencegahan sebaik sahaja menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

“Buat masa ini kita belum menerima taklimat daripada Jabatan Kesihatan Selangor berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun kita sedang berusaha mendapatkannya dan dari situ kita akan lihat bentuk tindakan terbaik yang perlu diambil bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 23,454 kes HFMD dilaporkan berlaku di seluruh negara dari 3 Januari hingga 6 Ogos, meningkat 17.8 peratus atau 19,916 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

Menerusi kenyataan media, Hisham berkata untuk tempoh berkenaan, purata kes dilaporkan turut meningkat kepada 757 kes seminggu, berbanding 642 kes untuk tempoh sama 2015.

YB DaroyahMengulas lanjut statistik itu, Daroyah berkata pihaknya akan mengembeleng tenaga bersama Jabatan Kesihatan Negeri memastikan premis tumpuan kanak-kanak seperti taska dan tadika bebas dari virus berkenaan.

“Kita akan periksa kebersihan, pakaian, dan sajian makanan di taska dan tadika terlibat.

“Komitmen ini juga menuntut kita untuk memberi khidmat nasihat kepada guru tadika dan pengusaha taska dalam memastikan kelangsungan kesihatan kanak-kanak,” katanya.

HFMD berpunca daripada virus enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71) dan penularannya melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan tercemar.

Mereka dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki sekali gus menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.