Categories
SELANGOR

Empat lagi tapak sampah haram diterjah

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Lebih banyak tapak pelupusan sampah haram bakal diterjah bagi membanteras masalah itu, tegas Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sedia merampas tanah persendirian yang disalah guna sebagai tapak pelupusan sampah haram.

Katanya, kerja pembersihan dan kawalan pula bakal dikenakan kepada tanah kerajaan yang diceroboh.

“Kerajaan Negeri sememangnya serius mengenai isu pembuangan sampah di Selangor termasuk usaha membanteras tapak pelupusan sampah haram.

IMG_6508“Kita melancarkan perang habis-habisan terhadap operator sampah haram ini,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau melakukan terjahan mengejut ke empat tapak pelupusan sampah haram di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Selain MPSJ, operasi turut disertai wakil Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Ean Yong berkata, MPSJ turut menyita satu lori sampah dan ‘backhoe’ dalam operasi pagi tadi.

Tapak pertama diterjah terletak di Taman Bukit Serdang Seksyen 5 melibatkan sisa binaan dan industri yang turut menyebabkan gas bawah tanah terbakar.

Tapak kedua pula terletak di Taman Mas, Sepang yang juga melibatkan pembuangan sampah binaan dan industri di sepanjang 1 kilometer (KM) rizab sungai milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu, dua lagi tapak terletak di Taman Putra Prima, Puchong di mana satu tapak sebahagiannya dimiliki kerajaan dan sebahagian lagi merupakan milik persendirian yang dilonggokkan sampah bercampur.

Tapak terakhir adalah milik persendirian disalah guna sebagai tapak pelupusan sampah domestik.

EZY