Categories
NASIONAL

Fokus tukar PM, bukan Ketua Pembangkang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 19 OGOS: Tidak timbul isu membabitkan pertukaran Ketua Pembangkang, sebaliknya fokus tetap terarah kepada perubahan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jawatan Ketua Pembangkang yang disandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bukan isu, malahan tidak pernah dibincangkan dalam parti.

“Bagi saya bukan soal siapa Ketua Pembangkang kerana sudah ada Datuk Seri Dr Wan Azizah dan tiada cadangan untuk menukarnya.

“Kita mahu Perdana Menteri yang ditukar, maka biar lebih fokus terhadap perkara itu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

AZMIN-500x357Isu pertukaran Ketua Pembangkang hangat diperkatakan dalam kalangan pimpinan pembangkang apabila difahamkan terdapat cadangan supaya mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan itu.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengemukakan permohonan bagi pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Parti dipengerusinya dan di bawah naungan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad difahamkan bakal membentuk kerjasama dengan parti pembangkang lain untuk menentang Umno Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.