Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

FSN rai pengantin dengan menaiki helikopter

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 14 OGOS: Buat julung kali, Festival Syoknya Nikah (FSN) 2016 menawarkan pasangan pengantin meraikan detik perkahwinan dengan menaiki helikopter, pada 12 hingga 14 Ogos ini.

Pengarah Program FSN, Ahmad Sazali Omar, berkata festival itu khusus buat pasangan pengantin yang berminat merasai pengalaman menaiki helikopter dengan harga RM15,000 sebagai promosi.

Katanya, mempelai turut ditawarkan busana pengantin, pelamin, katering, kad kahwin, fotografi dan photobooth, kek perkahwinan, pakej berbulan madu, percutian serta apa jua hantaran dan aksesori yang diperlukan.

“Pengantin dibawa mengelilingi sekitar ibu negara atau Lembah Klang dengan pengangkutan udara itu, sekali gus merasai pengalaman lebih bermakna,” katanya ketika majlis penutup FSN 2016 di SACC Mall, di sini, hari ini.

Sazali berkata, acara kemuncak festival itu menyaksikan pengantin diiringi pasangan selebriti tanah air dan 20 penunggang motosikal berkuasa tinggi ke SACC Mall.

IMG_9548 aPada masa sama, katanya, terdapat pelbagai idea dan kelainan ditampilkan sempena festival itu termasuk menghimpunkan lebih 40 pengusaha dan pengendali majlis perkahwinan.

“Acara finale adalah ‘Walimah Contest’ untuk memilih bakal pengantin bertuah memenangi hadiah pakej berbulan madu bernilai RM20,000 dan Finale Pencarian Wajah Jameela bagi menjadi ikon Jameela Street.

“Saya berharap festival ini dapat membantu mereka yang belum membuat persiapan perkahwinan dengan lebih mudah,” katanya.

Festival anjuran Pro Solution Event Management dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewanita Selangor dan PKNS Real Estate (PREC) itu turut dihadiri Isteri kepada Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.