Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hasrat miliki kediaman sendiri tercapai walau pinjaman ditolak lima bank

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 OGOS: Menyedari umurnya yang lanjut dan kemampuan kewangan terhad menyebabkan warga emas, Yusuf Ayub, 78, terpaksa melupakan hasratnya untuk memiliki kediaman sendiri.

Cita-citanya itu terpaksa dipadamkan apabila selepas lebih 10 tahun berusaha untuk memohon pinjaman di lima buah bank tetapi kesemuanya ditolak.

Namun hatinya berbunga kembali apabila mendapat tahu Kerajaan Selangor melancarkan Skim Sewa Milik Kerajaan Selangor (Skim Dana-Sel) bagi membantu golongan gagal mendapat pinjaman memiliki kediaman sendiri.

DSC_7103 Kecil“Umur dah lebih, duit pun tak ada. Jadi saya berunding dengan anak-anak. Alhamdullilah, dapat juga masuk rumah baru bulan depan.

“Tak perlu bayar apa lagi kecuali bayaran sewa RM300 sebulan yang akan diuruskan anak saya sebab saya dah mampu nak buat apa lagi dah.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menolong Pak Cik orang susah ini,” kata Yusuf ketika ditemui SelangorKini pada Majlis Makan Tengahari Bersama Penerima Skim Dana-Sel di Pangsapuri Rimba Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi peserta Skim Dana-Sel, pasangan Rohaya Sungip, 41 dan Mazlan Endut, 49, turut lega apabila impian memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai.

“Kami cuba membeli rumah sejak 2005 tetapi sekarang baru dapat. Masalahnya suami saya disenaraihitamkan oleh bank. Kami cuba mohon tak dapat. Mujur Kerajaan Negeri usahakan hingga kami dapat balik tapak di sini,” kata Rohaya.

Jelasnya, beliau hanya perlu membayar sewa bulanan sebanyak RM300 sebulan selama 20 hingga 25 tahun sebelum dapat hak milik rumah tanpa perlu mengeluarkan wang deposit dan bayaran bulanan pinjaman bank yang tinggi.

“Syukur dapat rumah, Insha Allah saya akan bayar sewa RM300 sebulan. Terima kasih kepada pihak yang berusaha membantu kami,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.